IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan kebimbangan terhadap perbuatan orang Melayu yang menjatuhkan sesama sendiri, yang beliau sifatkan terlampau parah sekarang.

Menurut beliau, orang Cina dan India juga berselisih faham dari segi politik tetapi tidaklah sehingga boleh menjahanamkan bangsa sendiri.

Malangnya, kata beliau, orang Melayu, walaupun berbeza pendapat sedikit, boleh menyebabkan mereka tidak bertegur sapa, sedangkan mengikut ajaran Islam, perbezaan pendapat itu satu rahmat.

“Perbezaan pendapat itu satu rahmat, ia membuka fikiran supaya kita lebih maju, sepatutnya begitu tetapi kita ni bila berbeza, habis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 200 di sini pada Selasa.

Harussani menyifatkan pemikiran orang Melayu masih tidak matang kerana terlalu taksub dengan politik sehingga mengambil tindakan yang tidak masuk akal.

Beliau memberi contoh, suatu ketika dahulu, beliau sendiri pernah melihat orang Melayu membuang sebakul ayam ke dalam sungai kerana disembelih oleh orang UMNO sedangkan mereka boleh makan di kedai kopi orang Cina.

“Ada kejadian juga, sampai emak meninggal dunia, dia tidak naik atas rumah tengok kerana berbeza pendapat, itu keadaan orang Melayu, teruk, dia tidak matang dalam pemikiran,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang Melayu supaya bersatu padu, sejajar dengan ajaran Islam.

“Dalam Islam, sembahyang hanya diperkenalkan selepas 11 tahun barulah turun wahyu suruh sembahyang, puasa pula selepas dua tahun hijrah, yang pertama disuruh ialah bersatu.

“Perintah yang pertama diturunkan ialah perpaduan, kenapa orang Melayu yang beragama Islam suka berpecah? Itu tak betul caranya,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya jangan terlibat dengan pesta arak Better Beer Festival 2017 kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

“Duduk semeja dengan orang minum arak dan tunjuk tempat untuk membelinya juga mendapat dosa sama dengan orang yang minum, apa lagi nak buat, tengok pesta pun haram, tidak boleh,” tambahnya.