IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebak dan menangis ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Hotel Casuarina @ Meru pada Isnin.

Katanya, beliau mengagahkan dirinya untuk menghadiri muzakarah itu walaupun tidak sihat demi memastikan kelangsungan penyatuan umat Islam.

“Walaupun menghadapi masalah kesihatan, namun saya perlu memastikan bahawa saya hadir juga di muzakarah ini kerana ingin melihat usaha ke arah penyatuan ummah ini diteruskan,” katanya yang hadir dengan menaiki kerusi roda. .

Dalam ucapannya, Harussani menegaskan bahawa umat Melayu abad ke 21 sedang menghadapi cabaran dan situasi yang jauh lebih getir.

“Kita tidak lagi berdepan letupan meriam dari Portugis, bukan juga berdepan dengan serangan askar Gurkha yang diupah Inggeris, namun kita hari ini berdepan serangan pemikiran yang menghilangkan jati diri umat Melayu.

“Serangan pemikiran ini membuatkan seseorang Melayu hilang izzahnya, hilang rasa senasib sepenanggungan, seaib dan semalu, tiada lagi rasa dicubit peha kiri, peha kanan dirasa sakit,” katanya.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerana bahasa Melayu yang dahulunya digemilangkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa tamadun, kini disisih hanya menjadi bahasa ungkapan, malah dirosakkan dengan sangat biadap sebagai hanya bahasa murahan.

“Jika dahulu kita punya lebih dari 4 juta hektar tanah rizab Melayu, kini jumlahnya semakin tidak menambah, bahkan berkurang.

“Jika dahulu khazanah dan tradisi Melayu dan Islam menjadi jati diri, namun pada hari ini, warisan itu terhakis dan jikapun ada, hanya layak menjadi bahan esksotik untuk tontonan pelancong,” ujarnya.

Harussani turut menyentuh soal Syariah Islam yang sebelum ini tidak pernah dipersoal dan dicabar tetapi kini sesiapa sahaja, termasuk orang bukan Islam berani mencabar kedudukan undang-undang Islam dalam perundungan negara.

Katanya, di sinilah letaknya peranan besar Raja-Raja Melayu kerana masyarakat Islam Melayu sememangnya masih bergantung harap kepada raja sebagai sandaran, bak kata bijaksana Melayu yang menggambarkan tautan rakyat dan raja.