KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip disarankan supaya meletakkan jawatan sementara menunggu kes rasuah membabitkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selesai.

Penganalisis politik yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata, ini kerana tumpuan masyarakat kini terarah kepada Muhammad Zahid dan ada baiknya jika dia mengundur diri.

“Kedudukan Muhammad Zahid sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri boleh mengundang pelbagai spekulasi negatif daripada orang ramai selain menggugat integriti di dalam Pejabat Perdana Menteri itu sendiri.

“Apa yang pasti, kes rasuah Tan Sri Mohd Isa kini menjadi tumpuan masyarakat kerana ia turut membabitkan individu yang paling rapat dengan Perdana Menteri.

“Perkara ini tidak akan memberi publisiti yang baik untuk Perdana Menteri, justeru jika mengambil kira keadaan sekarang, adalah wajar jika Muhammad Zahid meletakkan jawatan sementara perbicaraan itu selesai,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu kaitan Muhammad Zahid yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu dengan kes rasuah Mohd Isa yang kini menjadi bualan hangat orang ramai.

Muhammad Zahid Md Arip dilantik sebagai Setiausaha Politik Dr Mahathir pada 30 Mei lalu adalah antara individu yang disebutkan dalam sembilan pertuduhan terhadap Mohd Isa kerana dipercayai menerima sogokan lebih RM3 juta daripada pembelian sebuah hotel di Kuching.

Dia yang juga cucu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba sebelum ini adalah pegawai khas kepada Mohd Isa

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu melakukan pecah amanah ke atas dana terbabit dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah FELDA.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah Felda Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana Anggota Lembaga Pengarah Felda memberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan membabitkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Mohd Isa juga didakwa sembilan lagi pertuduhan rasuah iaitu menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai, yang kesemuanya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Anggota Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian hotel berkenaan.

Rasuah itu didakwa diberikan antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Sementara itu, Muhammad Zahid juga adalah pencabar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi kerusi Parlimen Pekan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu namun tewas dengan majoriti sebanyak 24,859 undi.

Sebelum menyertai PPBM, Muhammad Zahid pernah memegang jawatan pegawai khas kepada Isa serta menyandang jawatan sebagai Naib Ketua Angkatan Muda PKR sebelum membuat keputusan meninggalkan parti terbabit – berita harian