CHEMOR: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihatkan umat Islam di negeri ini supaya muhasabah diri dan tidak hanya mencari kesalahan orang lain.
Dalam masa sama, beliau meminta  mereka supaya saling tegur menegur dan nasihat menasihati untuk kebaikan, bukan atas sifat marah dan benci.
Sehubungan itu, beliau mahu agar masjid dijadikan tempat untuk menyatukan umat, walaupun apa fahaman politik sekalipun.
“Kalau ada perselisihan kecil, cari jalan untuk selesaikan segera kerana tukang cucuk memang ramai,” katanya ketika berucap selepas Program Qiamullail, sahur dan solat Subuh berjemaah di Masjid At-Attayibin Tanah Hitam di sini pada Jumaat pagi.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, ADUN Manjoi, Mohd Ziad Mohd Zainal Abidin dan Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Azhar Ahmad.
Program Qiamullail dan solat Subuh diimamkan guru Al -Quran Masjidil Haram Mekah, Sheikh Usama Muhammad Iqbal.
Dr Zambry melahirkan rasa kagum kerana ratusan jemaah yang hadir memenuhi ruang solat masjid itu seawal jam 3 pagi.
“Semangat yang ditunjukkan sangat hebat kerana Subuh adalah tanda permulaan hidup seharian kita,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan umat Islam di negeri ini supaya melibat gandakan amalan ketika 10 hari terakhir Ramadan yang menjanjikan banyak kelebihan.
Sempena program itu, Menteri Besar turut mendengar taklimat ringkas mengenai cadangan pembinaan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di kawasan masjid berkenaan yang dirancang dalam dua fasa, melibatkan kos kira-kira RM15 juta.
Fada pertama ialah pembinaan 80 unit sekolah pondok untuk warga emas manakala fasa kedua melibatkan pembinaan maahad tahfiz yang boleh memuatkan pelajar antara 120 – 150 orang.
Buat masa ini, terdapat 12 pelajar sedang mengikuti kelas tahfiz yang dibuka sejak lapan bukan lalu.