KUALA LUMPUR: Pendekatan munasabah politik perlu diamalkan oleh pemimpin bagi memastikan parti UMNO terus kekal relevan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pemimpin-pemimpin dapat menyantuni serta merasai sendiri denyut nadi rakyat di akar umbi.

“Kita perlu sentiasa turun padang memahami landskap politik, eko sistem sesuatu kawasan dan yang paling penting mendengar sendiri permasalahan rakyat.

“Ini merupakan satu proses yang perlu kita lakukan dan dalam masa sama inilah merupakan kehebatan yang ada di dalam parti UMNO sejak sekian lama, walaupun kita menempuh pelbagai dugaan kita berjaya atasinya.

“Pendekatan ini juga membolehkan kita sentiasa beringat asal usul penubuhan dan arah tuju sebenar kita,” katanya ketika ditemubual dalam program Malaysia Hari Ini, di sini pada Jumaat.

Dr Zambry berkata, UMNO juga perlu meneruskan politik kesederhanaan yang diamalkan selama ini dan tidak terperangkap dengan permainan politik fitnah digunakan oleh pihak pembangkang.

“UMNO ini dibawa berasaskan politik kesantunan, pendekatan kita gunakan selama ini sederhana tidak mencaci atau fitnah.

“Kerana kita sedar negara mempunyai politik kepelbagaian kaum jadi kita perlu menghormatinya, jaga sempadan itu.

“Paling penting ialah kita terus fokus membina track record  dalam membantu rakyat,” jelas beliau.