IPOH: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkritik perlaksanaan cukai pelancongan yang disifatkannya akan membebankan rakyat di seluruh Negara.

Katanya, cukai itu juga dilihat memberi impak negatif khususnya ke atas kemasukan wang pelancongan ke dalam negeri.

Beliau berkata, tindakan mengenakan cukai itu adalah bukti jelas kepicikan kewangan kerajaan persekutuan walaupun pihak kerajaan menafikan perlaksanaan itu akan membebankan rakyat.

“(Datuk Seri) Nazri (Abdul Aziz) langsung tidak mengambil kira soal masalah rakyat. Kita kena membuat keputusan itu secara berunding bersama-sama.

“Dia (Nazri) fikir ini urusan kerajaan Persekutuan (maka) kita boleh buat sesuka hati kita, saya tahu sebab saya pernah berada dalam kerajaa, jadi saya tahu pasti reaksinya tidak baik,” ujarnya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa perlaksanaan cukai antara RM2.50 dan RM20 akan tetap diteruskan mulai 1 Julai melibatkan penginapan di hotel dan rumah penginapan berdaftar.