PARIT BUNTAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, dijangka akan mendedahkan isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) di Parlimen, Isnin ini.

Menurutnya antara yang akan didedahkan adalah mengenai laporan kewangan 2017 yang didapati bercanggah dan termasuklah isu keuntungan agensi berkenaan yang diperkatakan sebelum ini.

“Tunggu hari Isnin ini sekitar jam 10 pagi, bertempat di Parlimen, kami akan dedahkan dapatan-dapatan yang kami jumpa dalam pengurusan TH yang amat menyedihkan.

“Saya tidak dapat jelaskan di sini apa yang dimaksud ‘menyedihkan’ itu. Sebagai tanggungjawab kita kepada Parlimen dan publik (orang ramai), kita akan beri penjelasan sesuai dengan dapatan-dapatan yang telah kami temui.

“Dijangka Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) akan dipanggil (bermesyuarat) dan mereka boleh memanggil sesiapa sahaja (untuk disiasat) jika mereka lihat perkara ini ada isu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah di Mydin Mall, di sini, hari ini.

Seramai 200 pelajar miskin menerima baucer bantuan kelengkapan persekolahan bernilai RM100 setiap seorang pada program berkenaan.

Ditanya sama ada perkara itu ada kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.

“Tidak pasti sama ada ia berkaitan dengan isu 1MDB, namun kami belum `menyelam ke dasar’ lagi, biarlah pihak polis menjalankan siasatan mereka dan saya yakin polis akan siasat perkara ini menyeluruh dan kita akan tahu siapa yang menyalahgunakan dana itu.

“Saya tidak anggap orang itu (pihak terbabit dalam TH) salah tapi siasatan perlu diteruskan, fitnah atau tidak, kita serah semuanya kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut kesal dengan kenyataan pihak tertentu yang mengaitkan isu TH itu sebagai balas dendam.

“Jika saya nak balas dendam daripada tahun 2016 lagi saya dah dedahkan TH ada masalah. Wajarkah isu yang membabitkan kepentingan umat dianggap misi balas dendam?

“Diharap pihak ini dapat memikirkannya secara lebih mendalam dan terperinci (sebelum mengeluarkan kenyataan),” katanya – berita harian