PARIT BUNTAR: Penyandang kerusi Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak dua penggal yang lalu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi dalam satu majlis di sini petang tadi.

Selain Mujahid, Asmuni turut mengumumkan pencalonan Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong.

Mujahid ketika ditemui mengakui cabaran yang dilaluinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini tidak sama dengan dua penggal yang lalu.

“Memang kami telah tetapkan cara bekerja kami iaitu menumpukan kepada dua segmen, pengundi Cina sekitar 36 peratus dan pengundi Melayu dalam 66 peratus. Jadi kami akan lebih tumpukan kerja asas iaitu dengan memfokuskan kalangan pengundi Cina.

“Di kalangan pengundi Melayu, ia bergantung kepada pencapaian perkhidmatan yang telah saya berikan sepanjang dua penggal.

“Jadi mereka boleh menilai dari sudut interaksi langsung saya dan setelah 10 tahun bersama, mereka adalah ‘poket sokongan’ yang boleh kita kendalikan dalam suasana hari ini,” katanya selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan dan Pengisytiharan Calon Parlimen Parit Buntar di sini hari ini.

Muhajid memenangi kerusi Parlimen Parit Buntar pada PRU-13 dan PRU-13 atas tiket PAS.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain, anak kelahiran Kuala Kangsar yang buat pertama kali bertanding sebagai calon pilihan raya berkata faktor orang luar bukan penentu di Parlimen Parit Buntar.

“Saya berasal dari Kuala Kangsar dan saya melihat faktor orang luar itu tidak berapa besar kerana saya adalah orang Perak dan saya rasa bertanggungjawab selepas diminta oleh Amanah Parit Buntar menjemput saya, melamar saya untuk bertanding.

“Saya berbincang dengan pimpinan Amanah Perak, maka mereka bersetuju meletakkan saya di sini (Titi Serong).

“Saya berkeyakinan, saya boleh, andai kata dipilih (sebagai wakil rakyat), saya boleh beri khidmat yang terbaik kepada penduduk DUN Titi Serong khususnya,” katanya.

Spekulasi berlegar di negeri ini mengatakan bahawa kemungkinan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan bakal bertanding di Parlimen Parit Buntar sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

BERITA BERKENAAN :