KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa mengaku mengarahkan potret aktivist Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di festival pameran fotografi ‘Stripes and Strokes’ di George Town, Pulau Pinang diturunkan.

Mujahid berkata, hal ini bertujuan promosi di mana bertentangan dengan polisi PH berhubung isu LGBT.

“Adakah perlu ikon sedemikian? Tiada ikon lain yang boleh ditampilkan. Jadi, jika saya tidak berkata apa-apa mengenainya, kita dilihat seperti mencabar polisi yang kita katakan beberapa kali sebelum ini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen pada Rabu.

Pameran bertemakan patriotisme itu menampilkan aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bergambar bersama Jalur Gemilang dan arahan penurunan potret mereka itu dilaporkan diarahkan oleh kerajaan Persekutuan.

Selain itu, Mujahid berkata, pihaknya menghormati golongan LGBT tetapi tidak bersetuju mempromosi gaya hidup golongan tersebut.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Farizan Darus menjelaskan beliau menerima aduan mengenai potret kedua-dua aktivis berkenaan dan telah meminta pihak penganjur GTF menurunkannya. – Sinar Harian