IPOH 14 Dis. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof menafikan pihaknya ada mengeluarkan arahan mahupun senarai 10 penceramah yang tidak digalakkan untuk muncul di kaca televisyen mahupun radio mulai Januari 2019, seperti tular di media sosial.

Menurut beliau, pihaknya juga tidak pernah menyekat walaupun terdapat sesetengah ustaz, tidak memberikan pandangan-pandangan yang baik.

“Cuma yang ada selama ini, kita nasihatkan agar penceramah yang hendak muncul di televisyen atau dalam program kita, dia mesti faham tiga teras kita perjuangkan iaitu rahmatan lil alamin, maqasid syariah dan modul Malaysia.

“Maknanya, dalam apa juga yang mereka sampaikan, selagi tidak bercanggah tiga perkara ini, maka kita alu-alukan, bukan nak sekat hanya kerana tidak suka tetapi lebih kepada melihat ‘content’ (isi kandungannya),” katanya.

Beliau berkata berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) 2018 bagi mengulas kebenaran mengenai senarai penceramah tersebut di sini hari ini.

Antara nama penceramah yang tersenarai termasuklah Ustaz Ahmad Dasuki, Datuk Mohd. Kazim Elias, Ustaz Syamsul Debat, Dr Ridhuan Tee Abdullah, Ustaz Abdullah Khairi, Ustazah Norhafizah Musa, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Zamihan, PU Amin dan PU Syed.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau tidak tahu sama ada senarai tersebut ditularkan bagi menimbulkan keraguan mahupun provokasi.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul isu hendak mengganggu periuk nasi orang lain dan beliau turut menasihatkan para penceramah supaya tidak menjaja agama untuk mencari rezeki. – UTUSAN ONLINE