WALAUPUN mereka hilang harta benda dalam sekelip mata, ternyata kenduri kahwin itu menjadi penyelamat kakak dan anaknya,” kata Mohd Hafiz Johari, 26, adik kepada Sahuri Johari, 39, yang kehilangan harta benda selepas rumahnya hangus dalam kebakaran di Kampung Sura Jeti, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari itu, mangsa bersama anaknya tiada di rumah kerana menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Padang Pulut, Dungun.

Mohd Hafiz berkata, dia menerima panggilan daripada kakaknya itu yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Jiran kakak memaklumkan rumahnya terbakar dan kakak meminta saya pergi tengok.

“Saya tinggal di Kampung Sungai Buaya dan segera ke sini dan ketika itu api sangat besar membakar rumah kakak,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia dan penduduk kampung gagal menyelamatkan sebarang harta benda di dalam rumah kerana api terlalu marak membakar keseluruhan kediaman itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, sepasukan 18 anggota bomba dengan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

Katanya, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada 2.15 petang.

“Kami sedang menyiasat punca kejadian serta jumlah kerugian dialami mangsa,” katanya – hmetro