PENDANG: “Saya berasa panas pada hidung akibat terkena ‘sesuatu’ sebelum darah mengalir tanpa henti,” kata mangsa terkena lintasan peluru sesat, Nur Fatihah Azaini, 29.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam, Nur Fatihah yang sedang berpantang cedera terkena lintasan peluru hidup ketika sedang menjaga bayinya di ruang tamu rumah keluarganya di Kampung Bukit Jambul.

Peluru itu dipercayai dilepaskan anggota pasukan kadet sekolah yang sedang menjalani latihan senjata api jenis M16 di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.

Menurut Nur Fatihan yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), ketika kejadian dia sedang menonton televisyen, manakala bayi perempuannya, Nurul Hana Aqilah Mohd Edy yang baru berusia 15 hari berada di sebelahnya.

“Muka saya berasa panas secara tiba-tiba sebelum ibu, (Doyah Md Saad, 50) terkejut melihat hidung saya berdarah sebelum segera mengambil tuala dan membantu mengelap darah.

“Ayah (Kamaruzaman Jinggi, 57) yang juga pesara polis, kemudian menemui peluru yang terkena bahagian bumbung rumah sebelum dia menghantar saya ke Klinik Kesihatan Pendang, namun diarah ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Difahamkan, lintasan peluru yang turut terkena mata kirinya menyebabkan ia bengkak, namun doktor mengesahkan penglihatannya masih baik dan dia dibenarkan pulang berikutan hanya mengalami kecederaan biasa.

Nur Fatihah berkata, dia yang bercuti bersalin pulang ke kampung bersama anak sulungnya, Nurul Iman Batrisya, 4, manakala suaminya, Mohd Edy Ahmad Termizi, 30, bekerja di Taiping, Perak.

“Sememangnya saya masih trauma dengan kejadian itu dan berharap polis dapat menjalankan siasatan, namun saya bersyukur kerana kami semua selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

“Akibat perasaan takut, saya tidak lagi berani berehat di ruang tamu dan mengambil keputusan masuk ke dalam bilik bersama bayi sepanjang tempoh berpantang ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Ketika kejadian lapang sasar itu digunakan pasukan kadet polis sekolah yang menjalani latihan pengendalian senjata api M16 di bawah seliaan IPD Padang Terap.

“Proses latihan terbabit didapati mematuhi prosedur standard operasi (SOP), namun kita sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya – berita harian