Rawang: “Nasib baik ketika kejadian tiada pelajar atau orang awam di kawasan berkenaan,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Rawang, Nor Liza Idris, berhubung kejadian sebuah bas merempuh tembok sekolah itu, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi tembok sekolah itu pecah dan runtuh apabila dirempuh bas sekolah yang membuat pusingan U di kawasan berkenaan.

Kejadian berlaku ketika bas yang keluar untuk mengambil pelajar itu dikatakan hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek.

Nor Liza berkata, difahamkan bas berkenaan mengalami masalah brek namun punca sebenar kejadian masih tidak diketahui.

“Saya dimaklumkan bas itu hendak keluar mengambil pelajar jam 6 pagi dan seperti biasa pemandunya akan membuat pusingan U di kawasan berkenaan.

“Brek bas dikatakan ada masalah menyebabkan ia gagal dikawal lalu melanggar tembok pagar sekolah sehingga runtuh,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan laluan berkenaan tidak boleh dijadikan tempat membuat pusingan U terutama bagi kenderaan berat seperti bas.

Katanya, selama ini kawasan bahu jalan berdekatan pondok bas di depan sekolah turut menjadi tempat parkir bas berkenaan.

“Itu laluan utama dan tidak boleh dijadikan tempat membuat pusingan U,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian.

Nor Liza berkata, tembok pagar di sekeliling sekolah itu sudah banyak yang retak dan perlu dibaiki, ditambah pula kejadian pagi semalam sememangnya menuntut supaya ia segera dibaiki keseluruhannya – hmetro