ALOR SETAR : Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) bagi mengekalkan kerajaan negeri sedia ada.

Mukhriz berkata, keputusan itu dicapai selepas semua parti bersetuju membentuk gabungan PH campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di peringkat negeri.

Katanya, keputusan itu juga sudah dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallahuddin Badlishah pagi ini, yang memberi perkenan kerajaan negeri diteruskan seperti biasa di bawah kepimpinan beliau.

Malam tadi, Mukhriz mengadakan pertemuan bersama barisan EXCO Kedah di kediaman rasminya, Seri Mentaloon di sini, malam tadi.

Pertemuan lebih dua jam itu dipercayai bagi membincangkan kedudukan kerajaan negeri susulan perpecahan PH dan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa EXCO dilihat memasuki Seri Mentaloon kira-kira jam 8.45 malam sebelum meninggalkan pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar secara berperingkat kira-kira jam 11 malam.