ALOR SETAR : Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menolak kemungkinan beliau akan dilantik ke jawatan Menteri Pendidikan, sebaliknya menyerah keputusan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan, parti juga tidak mempunyai sebarang hak meminta sesiapa dilantik menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan, minggu lalu.

“Ini (pelantikan) adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri dan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU tidak sedia senarai nama bagi pertimbangan beliau.

“Jika BERSATU sebagai parti pun tidak campur, parti lain juga tidak campur. Kita serah pada Perdana Menteri buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) 2020-2021, di sini, hari ini.

Ketika ini, timbul spekulasi mengatakan Mukhriz dijangka dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan jawatan Menteri Besar Kedah akan diserahkan kepada beberapa pemimpin tempatan.

Mukhriz berkata, beliau ada menemui Dr Mahathir sehari sebelum Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya, namun Perdana Menteri tidak memaklumkan apa-apa mengenainya.