ALOR SETAR : Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mempertikaikan kenyataan bahawa 36 Ahli Parlimen parti itu menyokong pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ketika mempertikaikan kenyataan terbabit, beliau mendakwa, ini kerana enam daripada mereka, termasuk beliau sendiri, tidak menyokong pencalonan berkenaan.

Katanya, selain beliau yang mewakili Parlimen Jerlun, lima lagi tidak menyokong ialah Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Parlimen Kubang Pasu); Syed Saddiq Abd Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi).

“Bagaimana diakui 36 Ahli Parlimen BERSATU menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, jika ada enam orang (Ahli Parlimen) menyokong Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri?

“Bohong untuk jadi Perdana Menteri?,” katanya melalui laman sosial Facebook malam ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, dalam kenyataannya semalam, dilaporkan berkata Ahli Dewan Rakyat BERSATU memutuskan mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan dalam mesyuarat yang dihadiri 36 Ahli Dewan Rakyat mewakili parti itu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri menggantikan Dr Mahathir.

Mukhriz turut berkata, beliau tidak akan mengalah dan akan meneruskan perjuangan.

Beliau hari ini, berada di Kuala Lumpur bagi urusan rasmi dan dijangka pulang ke Kedah dalam tempoh terdekat.