ALOR SETAR : Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin akan terus kekal menerajui pentadbiran kerajaan negeri sebagai Menteri Besar.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU mempunyai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencukupi untuk mengekalkan pentadbiran semasa sebagai negeri pembangkang.

Mukhriz berkata, beliau akan bertemu dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dan BERSATU untuk membincangkan perkara itu, malam ini.

“Esok kita akan mengadakan mesyuarat EXCO seperti biasa kerana tugas kita adalah membangunkan negeri Kedah dan keutamaan untuk rakyat, mesti diteruskan,” katanya.

Walaupun BERSATU di peringkat nasional dianggap sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), di Kedah keadaan adalah berbeza dan berharap suasana ini dapat diteruskan.

“Kita berharap suasana ini dapat kita tenangkan kerana saya rasa rakyat sangat mengharapkan suasana politik dalam negeri ini tenang dan tenteram.

“Buat masa ini kita masih kukuh sebagai sebuah kerajaan negeri selagi tidak ada seorang pun ADUN daripada PH dan BERSATU yang melompat ke sana… maka kita mempunyai bilangan (ADUN) yang cukup.

“Kita ada 19 (ADUN) campur satu (Speaker) menjadikan majoriti kita masih tiga. Kita berharap ini dapat kekal maka Kedah akan berbeza berbanding negeri yang lain yang sudah tumbang kepada Perikatan Nasional,” katanya di sini, malam ini.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN yang mana PAS mempunyai kerusi terbanyak iaitu 15 diikuti PKR (7), BERSATU (6), BN (2) AMANAH (4), DAP (2).