IPOH: Kerajaan negeri Perak mengisytiharkan mukim Matang di daerah Larut Matang & Selama sebagai kawasan dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun terdapat hanya satu kes melibatkan anjing gila di kawasan Itu namun arahan itu dikeluarkan agar pihak terlibat dapat melakukan tindakan-tindakan diperlukan untuk mengawal penyakit itu daripada merebak.

Menurut beliau pengisytiharaan dibuat di bawah subseksyen 39 (1) akta bintanag 1953.

“Saya minta semua penduduk di kawasan itu memberi kerjasama sepenuhnya kepada jabatan-jabatan yang terlibat dalam usaha kita mengekang wabak ini.

“Di bawah warta ini, tiada seorang pun boleh membawa mana-mana anjing keluar dari mukim Matang dan anjing-anjing yang bertuan haruslah disimpan di dalam kawasan tertutup dan dikawal secara ketat.

“Pihak Veterinar juga diberi kuasa sekiranya terdapat anjing-anjing gila yang tidak dikawal akan dimusnahkan selain mana-mana orang diberi kuasa bertulis boleh memasukkan mana-mana kawasan atau premis untuk memeriksa mana-mana anjing,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Selasa.

Katanya, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri ketika ini turut sedang giat melakukan operasi penvaksinan anjing-anjing di kawasan berkenaan.

“Saya berharap semua dapat memberi kerjasama, jika anjing mereka mempunyai simptom atau sebagainya, tolong segera ke pihak terlibat untuk tindakan susulan.

“Walaupun ini merupakan kes terpencil namun kerajaan negeri mengambil keputusan ini bagi memastikan kita dapat mengekangnya secara pantas sebelum ia merebak,” jelas beliau.

Pada 13 Julai lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak telah menerima aduan daripada seorang penduduk beralamat di Kuala Sepetang memaklumkan anjing peliharaannya mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudara perempuannya.

Susulan aduan itu, jabatan berkenaan melakukan pengambilan sampel karkas anjing itu untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh dan mendapati ianya positif anjing gila.

Namun dua kanak-kanak perempuan yang digigit anjing peliharaan itu disahkan tidak mempunyai tanda-tanda dijangkiti rabies atau penyakit anjing gila.