GOPENG– Pemilik-pemilik anjing di Mukim Taiping, Daerah Larut Matang dan Selama digesa agar membawa anjing peliharaan mereka ke klinik haiwan unutk mendapatkan suntikan, bagi mengawal penularan wabak Rabies di kawasan terbabit.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, setakat ini Jabatan Veterinar Negeri Perak giat menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menangani masalah anjing liar yang berisiko menyebarkan wabak ini.

Ujarnya kejadian sama pernah terjadi di negeri ini sebelum ini, yang dipercayai berpunca dari tempat lain dan merebak ke kawasan Utara Perak.

“Kawasan Utara ini (Larut Matang dan Selama) pernah dijangkiti wabak ini dan sekarang berlaku sekali lagi, bagaimanapun kita sedang ambil tindakan sewajarnya.

“Saya telah pun menandatangani pewartaan di kawasan-kawasan Larut Matang termasuk dalam Taiping untuk pemilik-pemilik anjing membawa anjing peliharaan mereka ke klinik untuk mendapatkan suntikan.

“Ini amat penting untuk mengawal penularan Rabies, Kerajaan mendapati kes-kes yang mengakibatkan anjing ini bertindak liar maka kita perlu mengambil tindakan sewajarnya.

“Ia perlu tindakan segera, untuk kita ambil tindakan terhadap anjing liar ini ianya di bawah kuasa PBT jadi kedua-dua pihak (Veterinar dan PBT) sedang menjalankan usaha bersama pastikan ianya terkawal,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Mesra Milik, Naluri Perdana Gopeng, pada Selasa.

Yang turut sama Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Felina Tan Sri Mustapha Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad, K. Mohanachandran dan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin.

Terdahulu, Ahmad Faizal menyempurnakan gimik majlis pecah tanah di majlis itu, dianggarkan 2,166 unit rumah akan dibina merangkumi 1,112 unit rumah teres mesra milik.

Kerjasama di antara Perbadanan Menteri Besar dan MK Land Holdings Berhad ini memberi peluang kepada anak Perak dari golongan B40 dengan pendapatan bulanan isi rumah RM 3,800 dan ke bawah memiliki rumah sendiri.

Semalam Mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila berikutan empat sampel diambil mendapati ia positif wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, ujian itu dilakukan selepas pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar menerima maklumat daripada pengadu dari Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping, 3 Disember lalu.

Sebagai rekod, ianya kali kedia kawasan LMS diwartakan dengan wabak itu iaitu pada 17 Julai 2017, susulan satu kes dilaporkan di Kuala Sepetang pada 4 Julai tahun tersebut.