IPOH: Walaupun diberi tempoh 14 hari untuk memikirkan semula keputusan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, keputusan beliau adalah muktamad.

“Muktamad, tiada u-turn,” katanya kepada media ketika ditemui dalam majlis penyerahan watikah pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perak, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Jawatankuasa Eksekutif Pafa yang bermesyuarat, sebulat suara menolak peletakan jawatan Hasnul dan memberi tempoh 14 hari kepada beliau untuk mempertimbangkan semula keputusannya.

Hasnul berkata, beliau tetap dengan keputusan awal selepas nasihat daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya tidak mempolitikkan Pafa dan bola sepak.

Di samping itu, katanya, keputusan beliau juga demi untuk Pafa dan pembangunan bola sepak Perak, supaya dapat diuruskan dengan baik, tanpa sebarang isu.

“Barangkali kalau saya kembali semula, ia akan menimbulkan isu lama semula, jadi ia akan menyebabkan fokus Jawatankuasa Eksekutif Pafa agak terganggu.

“Jadi itulah sebab saya menetapkan keputusan saya dan seperti dimaklumkan dahulu, saya hendak memberi tumpuan kepada tugas-tugas sebagai Exco kerajaan negeri dan ahli politik,” ujarnya.

Hasnul berkata, beliau telah memaklumkan keputusannya itu secara lisan kepada pihak Pafa pada Selasa lalu dan akan menyusul dengan secara bertulis dalam masa terdekat.