IPOH: “Mungkin mereka anggap Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh ini tidak penting seperti lapangan terbang yang lain,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kegagalan pihak berkaitan mengambil tindakan segera terhadap permohonannya untuk mewujudkan pengangkutan bas ulang-alik (shuttle bus) di lapangan terbang tersebut baru-baru ini.

“Mereka masih lagi belum menghubungi saya berhubung aduan yang telah saya buat tempoh hari dan saya yakin mereka telah pun menerimanya.

“Mungkin mereka sibuk dengan perkara lain dan mungkin juga lapangan terbang ini tidak penting untuk mereka, berbanding lapangan terbang yang lain,” kata beliau dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Dr Zambry berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi telah diarah melihat perkara berkenaan.

“Kita tidak akan menunggu, saya telah pun mengarahkan Nolee untuk melihat perkara itu dan tengok apa yang kita boleh lakukan di bawah bidang kuasa kita,” ujarnya.

Baru-baru ini Dr Zambry telah memohon pihak berkaitan mewujudkan perkhidmatan bas ulang alik untuk membawa penumpang menaiki pesawat apabila hari hujan.

Beliau berkata, perkara itu perlu diselesaikan segera, lebih-lebih lagi 2017 merupakan Tahun Melawat Perak.

“Kita mengambil serius isu ini, malah telah dibangkitkan banyak kali dan saya lihat ia boleh diselesaikan dengan mudah iaitu menyediakan perkhidmatan pengangkutan ulang alik.

“Kita akui memang tak banyak penerbangan di Ipoh dan bukanlah lapangan terbang yang sibuk tetapi keperluan menyediakan bas untuk bawa penumpang ketika hujan amat perlu.

“Saya berharap Kementerian Pengangkutan akan kaji perkara ini dengan segera dan tampil ke hadapan untuk membantu kami dengan bantuan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB),” katanya.