Oleh:Nazialita Geynna Maharan
IPOH: Mungkin ramai yang mengetahui kisah adik Intan Liyana Aqilah yang menghidap sejenis penyakit yang tidak mempunyai penawar atau rawatan sehingga hari ini.

Berusia 13 tahun, remaja yang murah dengan senyuman itu bagaimanapun enggan menyerah kepada kesedihan di sebalik mengetahui hakikat perit bahawa hayatnya tidak lagi panjang.

kk4

Intan Liyana Aqilah Mahd Zahadi, anak ketiga kepada empat beradik itu merupakan penghidap Limb Girdle Muscular Dystrophy (LGMD), sejenis penyakit yang akan melemahkan fungsi otot secara perlahan-lahan.

Baru-baru ini, anak istimewa itu dibawa mengunjungi Kafe Konda Kondi yang terletak di bandaraya Ipoh untuk menikmati aiskrim gulung yang sudah lama diidamkannya.
Kehadirannya di kafe tersebut membawa senyuman kepada pengunjung kafe, malah mendapat layanan istimewa daripada pengusaha aiskrim gulung, Freddo Aiskrim.

Seluruh keluarga Intan Liyana turut dijamu dengan hidangan percuma daripada Azril Aryandi, 29, pemilik kafe hipster terkemuka, Konda Kondi.

Intan turut dikunjungi Naib Ketua Bahagian UMNO Tambun, Datuk Azizul Kama Abd Aziz yang meluangkan masa berbual dengannya yang kelihatan cukup gembira.

Azizul Kama berkata, anak muda dan remaja hari ini wajar mengambil iktibar daripada kisah hidup Intan dan sentiasa bersyukur dengan kudrat dan fizikal yang diberikan oleh Allah.

kk3

“Ramai sangat yang mahukan kebendaan tetapi tidak ingat kepada pengorbanan ibubapa menjaga kita, taksub kepada nilai harga sebuah barangan yang tidak kekal lama tanpa memikirkan tentang akhirat.

“Saya sendiri kagum dengan Intan, adik ini adalah contoh seorang insan yang cekal menghadapi masa depannya, saya berharap dia akan tabah dan kami akan terus mendoakan Intan dan keluarganya,” katanya sambil menghulurkan sumbangan peribadi.

Ibu Intan Liyana, Maryani Awang, 46, dia cukup gembira melihat keriangan Intan bersama adik-beradiknya.

“Jarang dia berkelakuan riang sebegini, makan pun selalunya sedikit sahaja tetapi hari ini memang Intan sangat bertenaga, terima kasih kepada semua yang sudi menggembirakan Intan,” ujarnya.