KANGAR: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di sini, mendakwa cedera dirotan gurunya selepas tidak membawa buku teks dan latihan mata pelajaran Pendidikan Islam, Isnin lalu.

Mangsa yang berusia 11 tahun dikatakan mengalami bengkak dan lebam pada bahagian betis sehingga menyebabkan dia sukar melakukan aktiviti harian ketika ini.

Bapa mangsa dikenali sebagai Rizal, 42, berkata selain dipukul anak keduanya itu turut dimalukan di hadapan rakan apabila guru lelaki terbabit menyindir agar kanak-kanak berkenaan mengikuti kelas Pendidikan Moral.

Menurutnya, dia menyedari kejadian yang menimpa anaknya selepas kanak-kanak itu menangis teresak-esak kerana kesakitan ketika solat Zohor pada hari yang sama di rumah.

“Ketika itu saya sedang bekerja dan isteri menelefon meminta saya pulang ke rumah kerana anak mengadu sakit tidak boleh duduk tahiyat.

“Selepas saya memeriksa betis anak, saya terkejut kerana betisnya membengkak dan terdapat kesan rotan.

“Apabila ditanya, anak memaklumkan beliau dirotan oleh gurunya dengan pembaris sepanjang satu meter sehingga pembaris itu patah hanya kerana tertinggal buku,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Rizal berkata, dia pada mula enggan melaporkan perkara ini kepada polis, namun pihak klinik kerajaan meminta saya mengikut prosedur kes penderaan dan menasihatkan agar membuat laporan.

“Saya kemudian membuat laporan polis pada hari sama sebelum anak mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

“Apa yang mengecewakan, walaupun sudah masuk hari keempat kejadian, pihak sekolah dan guru berkenaan langsung tidak memohon maaf selepas kami bertemu Selasa lalu,” katanya.

Berikutan itu, dia berharap pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru dan pengurusan sekolah berkenaan.

“Saya kecewa kerana mereka bersikap sambil lewa atas perkara ini, malah kaki anak sehingga kini masih belum pulih dan diberi cuti sakit sehingga esok,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Superintendan Abdul Shukor Yusoff mengesahkan menerima laporan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seseorang.

“Buat masa ini kita belum menahan guru terbabit, namun sebarang tangkapan atau tindakan selanjutnya akan dimaklumkan kemudian,” katanya _ berita harian