KUANTAN : Madrasah Nahdhah Syubban Addiniyah di Kampung Kuala Kuang, Lanchang dekat Temerloh, diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran dan hanya mempunyai seorang tenaga pengajar yang diragui kelayakan.

Tindakan itu diputuskan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang melakukan semakan ke atas pusat terbabit selepas insiden kematian seorang pelajar dipercayai dipukul, kelmarin

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahib Wan Hassan, berkata arahan dikeluarkan selepas pihaknya mendapati pusat tahfiz terbabit tidak berdaftar dan tiada permohonan dibuat bagi menjalankan operasi sejak Januari lalu.

“Disebabkan banyak hal lain gagal diselesaikan, saya keluarkan arahan supaya pusat terbabit ditutup. Untuk beroperasi, mereka perlu meminta kebenaran dan membuat permohonan, namun pemeriksaan mendapati ia tidak dilakukan.

“Mereka bukannya tidak tahu undang-undang dan perlu mengikut saluran yang betul,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang di Klinik Kesihatan Lanchang selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama, dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul.

Wan Abdul Wahib berkata, pusat tahfiz terbabit mempunyai 14 pelajar berusia antara tujuh hingga 14 tahun dengan seorang tenaga pengajar yang diragui pelantikannya sama ada mempunyai kelayakan mengajar atau sebaliknya.

“Tenaga pengajar perlu memiliki sijil kebolehan tahfiz dan guru ini kita tidak tahu sama ada mempunyai kelayakan atau tidak.

“Jika tiada, tidak akan beri tauliah kelayakan mengajar. Tidak semua tahfiz muda layak menjadi guru hafaz al-Quran dan perlu mengikut prosedur untuk menjadi tenaga pengajar, apatah lagi menguruskan pusat tahfiz yang perlukan penelitian MUIP,” katanya.

Beliau berkata, sekolah agama dan pusat tahfiz perlu mendapatkan kelulusan sebelum memulakan sesi persekolahan.

Katanya, isu keselamatan premis menjadi keutamaan sebelum kelulusan beroperasi diberikan selain meneliti sukatan mata pelajaran dan sebagainya.

“Kita tidak mahu insiden yang pernah berlaku di beberapa sekolah agama dan pusat tahfiz berulang. Kita tegas dalam soal keselamatan kerana banyak kes kebakaran yang berlaku,” katanya.

Wan Abdul Wahib berkata, MUIP turut melakukan program pemutihan ke atas semua pusat tahfiz belum berdaftar untuk membuat permohonan sehingga 31 Disember ini.

“Jika masih tidak berdaftar selepas tarikh itu, kita arahkan tutup serta-merta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus, berkata penubuhan pusat tahfiz dan sekolah agama adalah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri, menyebabkan Jabatan Pendidikan sukar mengambil tindakan jika berlaku perkara tidak diingini.

“Kita tidak ada kuasa, begitu juga sekolah swasta persendirian tetapi kalau ada kejadian tidak diingini berlaku di sekolah terbabit, orang mencari kita (Jabatan Pendidikan).

“Jabatan Pendidikan tidak boleh berbuat apa. Soal pusat tahfiz yang tidak mempunyai kelulusan adalah perkara yang perlu dipandang serius,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.