SERI MANJUNG – Seorang murid perempuan Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung mengalami detik cemas apabila nyaris diculik ketika pulang dari sekolah kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, ketika kejadian mangsa sedang mengayuh basikal sendirian selepas tamat sesi persekolahan.

“Semasa melalui Taman Fasa 2I, Seri Manjung mangsa dihampiri sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru gelap dinaiki dua lelaki sebelum berhenti disebelahnya dan menarik tangan mangsa untuk masuk ke dalam kereta tersebut.

“Bagaimanapun mangsa sempat melarikan diri selepas terjatuh dari basikalnya dan pergi ke rumah pengasuh sebelum memaklumkan kepada ibu bapanya mengenai kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Hanif, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa tidak mengecam serta mengenali kedua-dua suspek berkenaan namun memaklumkan salah seorang daripada mereka berkulit putih serta berjerawat di muka.

“Mangsa turut mengatakan ketika kejadian dia hanya sendirian di mana kejadian berlaku dengan pantas dan lawatan polis ke lokasi berkenaan mendapati tiada kamera litar tertutup di kawasan itu.

“Murid perempuan berkenaan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Usaha menjejak serta mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaaan (kerana cuba melarikan orang),” katanya – sinar