BATU GAJAH: Polis menahan seorang murid tahun enam, di rumahnya di Taman Sri Wangsa di sini, malam tadi, kerana dipercayai merogol seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu kerana teransang selepas menonton video di dalam telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner, Ahmad Adnan Basri berkata, suspek yang merupakan anak sulong kepada pengasuh mangsa ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Menurutnya, kira-kira jan 10.30 malam 27 Jun lalu, mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan dan memberitahu anak kepada pengasuh dikenali nama ‘Abang’ ada menyentuh di bahagian kemaluannya.

“Pada 28 Jun, pengadu membawa anak perempuannya ke Klinik Tanjung Tualang untuk pemeriksaan dan doktor menyuruh pengadu membuat laporan polis.

“Kemudiannya pengadu telah pergi berjumpa dengan pengasuh dan suspek (anak sulung kepada pengasuh) telah mengaku melakukan perkara tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di rumah teres satu tingkat di dalam bilik ketiga di atas katil ibu bapa suspek.

Menurutnya, kejadian berlaku sebanyak tiga kali, pertama pada awal puasa (tarikh sebenar tidak pasti), kali kedua pada 3 Mei dan ketiga pada 17 Julai lalu.

Katanya, pemeriksaan telah dilakukan oleh doktor pakar O&G Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati kesan koyakan pada pelbagai posisi hingga menyebabkan selaput dara mangsa telah pecah.

Di samping itu, ujarnya, terdapat kesan kemerahan pada bahagian “introitus” dan kawasan dubur mangsa disyaki berlaku kemasukan dalam kemaluan mangsa oleh objek tumpul.

Ibu suspek mengasuh lapan orang kanak-kanak berumur antara 2 tahun sehingga 11 tahun mulai dari jam 6.30 pagi sehingga 9.00 malam dan mangsa telah dihantar jagaan pengasuh sejak Oktober 2017.

Suspek direman mulai hari ini hingga 5 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.