KUALA BERANG: Bunga Pakma atau Rafflesia biasanya tumbuh di atas tanah kerana saiznya yang besar tetapi spesies sama yang ditemui di Bukit Batu Kapal (BBK), tumbuh di akar.

Seorang ahli Terengganu Backpackers (TBP), Muhamad Zamrul Mohamad, 34, berkata ia ditemui tumbuh di akarnya pada ketinggian tiga meter.

Katanya, bunga itu ditemui pada kedudukan 450 meter dari paras laut dan kedudukan bunga yang ditemui pula ada yang tergantung pada akar yang menjalar setinggi tiga meter, selain tumbuh di atas tanah.

Katanya, spesies bunga Pakma yang dikenal pasti sebagai “Rafflesia cantleyi” mempamerkan kelopak selebar 0.4 meter dan berada di kawasan lembah yang landai di kawasan pertengahan bukit berkenaan.

“Saya dan rakan menemui bunga ini ketika kami membuat laluan baharu bagi membolehkan pendaki terus ke BBK apabila turun dari puncak bukit dan bukannya jalan seperti sebelum ini iaitu melalui ladang kelapa sawit.

“Ketika berada pada ketinggian 450 meter dari paras laut kami melihat sekuntum bunga Pakma berada di atas tanah dan ketika itu kelopak bunga berkenaan sudah kembang manakala satu lagi berada pada akar dengan ketinggian tiga meter,” katanya.
Muhamad Zamrul berkata, banyak akar di kawasan itu ditumbuhi oleh bunga pakma yang juga spesies parasit yang menumpang tumbuh di akar menjalar.

Katanya, beliau pernah menemui bunga Pakma di atas Gunung Lat, Kampung Kemat, di sini, pada ketinggian 500 hingga 600 meter dari paras laut dan pernah mencari bunga jenis sama di kawasan Tasik Kenyir, namun tidak pernah menemuinya.

Beliau berkata, selepas hari pertama menemui bunga itu, kelmarin beliau sekali lagi ke bukit berkenaan dengan membawa rakannya yang ingin melihat bunga berkenaan.

“Amat sukar untuk menemui bunga Pakma kerana ia tumbuh di kawasan tinggi dan hanya kembang dalam masa tujuh hari,” katanya – berita harian