IPOH: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memperkenalkan penggunaan sistem Touch N Go untuk perkhidmatan MyBAS di Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Intergrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, operasi MyBAS di laluan Jalan Raja Ashman Shah (Jalan Hospital) telah dimulakan tahun lalu.

Menurut beliau, bagi meningkatkan tahap penggunaan perkhidmatan itu dan tahap keselesaan serta kebolehsampaian, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama-sama SPAD membuat penilaian dari semasa ke semasa.

Di samping itu, kata beliau, pihak SPAD akan menjalankan perkhidmatan laluan baru MyBAS yang merangkumi kawasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bangunan hospital yang berdekatan dengan kekerapan 20 minit.

“Laluan baru yang bakal dikenali sebagai bas bandar Ipoh dijangka mula beroperasi hujung Disember ini yang melibatkan bangunan utama hospital, Kompleks Rawatan Harian dan Kolej Kejururawatan Ipoh,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau menambah, bagi meningkatkan intergrasi dan kesinambungan lokasi ini dengan pusat tumpuan lain, laluan turut menghubungi Stesen Bas Medan Kidd, Stesen KTM Ipoh, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,Pasar Ayam Amanjaya, UTC, Ipoh Parade, Bangunan Persekutuan Ipoh, Klinik Greentown, Jalan Raja Musa Aziz dan pekan lama Ipoh.

Mengenai isu bilangan ambulan yang turut menjadi antara isu utama sepanjang sidang DUN kali ini, Dr Mah berkata, secara umumnya ia adalah mencukupi.

“Bagaimanapun, pada masa-masa tertentu, kesuntukan mungkin terjadi apabila ambulan hospital perlu memberikan respon ke beberapa lokasi kecemasan pada masa yang sama,” ujarnya.

Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan ambulan di seluruh Perak adalah 253 buah, iaitu 209 dimiliki di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 15 buah milik Angkatan Pertahanan Awam (APM), 19 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), lapan milik St John’s Ambulance dan dua milik Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Menurutnya, pada 22 November lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah menerima 28 buah ambulan baru yang diagih-agihkan ke hospital-hospital kerajaan.

Ujarnya, pada pertengahan 2018, sebanyak 27 buah ambulan lagi dijangka diterima secara berperingkat-peringkat yang diagihkan, terutamanya kepada klinik-klinik kesihatan di seluruh negeri.

“Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah mengadakan perjumpaan dengan pihak APM, bomba, St John’s Ambulance dan PBSM bagi memastikan kerjasama secara NBOS aantara pelbagai agensi untuk menangani keperluan ambulan yang tinggi di kawasan tertentu,” tambahnya.