KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan bukan kerajaan, Syria Care dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), mengutuk keras pembunuhan penduduk awam di Timur Ghouta susulan serangan dilancarkan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad.

Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, berkata tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Syria itu perlu dihentikan segera kerana keadaan yang dilaporkan semakin kritikal dengan skala kemusnahan yang amat besar.

Menurutnya, selepas dikepung tentera rejim dengan bantuan sekutu kuat Damsyik, Russia, angka kematian di Timur Ghouta semakin meningkat.

“Serangan udara oleh tentera sejak awal bulan ini sudah meragut ribuan nyawa.

“Berdasarkan laporan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), penduduk di Timur Ghouta tidak lagi mempunyai tempat untuk berlindung kerana semua bangunan dan kawasan penempatan menjadi sasaran serangan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi MyCare, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Nor.

Sejak Ahad lalu sehingga kelmarin, Timur Ghouta dihujani serangan udara, bedilan roket dan artileri tanpa henti dengan pertubuhan pemerhati menyatakan 250 penduduk awam terbunuh.

Operasi kali ini diperhebat dalam usaha rejim merampas semula kawasan berkenaan daripada kumpulan pemberontak.

Menurut Siti Sakinah, sebagai NGO membantu mangsa konflik di Syria, pihaknya turut mendesak diberi kebenaran memasuki Timur Ghouta bagi misi bantuan kemanusiaan.

Pada majlis sama, kedua-dua NGO serta 11 NGO lagi yang membantah pembunuhan penduduk Timur Ghouta menandatangani nota bantahan untuk diserahkan kepada Kedutaan Russia di Kuala Lumpur.

Nota bantahan itu mendesak Russia berhenti membekalkan senjata, logistik dan membantu rejim Syria.

Sementara itu, Dr Hafidzi berkata pihaknya turut menggesa kerajaan menggunakan imej dan prestasi baik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak campur tangan badan dunia itu supaya menghentikan kekejaman di Syria.

Pihaknya turut berusaha mencari jalan untuk menyampaikan nota bantahan kepada Kesatuan Eropah, Turki dan Iran – berita harian