SERI ISKANDAR: Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) dengan kerjasama Pertubuhan Basmi Kelaparan (Food For Hunger Organisation – F4H) tampil membantu golongan yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebanyak 57 keluarga asnaf menerima bantuan melalui projek Rezeki Ummat (RU) dan 200 penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) menerima ‘Smile Pack’.

Fokus bantuan makanan ini di salurkan kepada warga Pasir Puteh, PPR Seri Conolly, Ipoh, Masjid Ar Rahmaniah, Tronoh dan Batu Gajah.

Rezeki Ummat (RU) merupakan salah satu projek berkala setiap bulan anjuran MyFundAction Cawangan Perak dengan memperuntukan sebanyak minimum 100 kotak untuk membantu para asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya dan mereka yang memerlukan.

Kotak itu mengandungi barangan keperluan asas dapur seperti beras, minyak, gula, tepung, bihun dan sebagainya.

Pasukan MyFundAction Perak yang diketuai Ketua Unit Pembangunan Belia, Norsyafiqah Salimun, telah menyerahkan 200 ‘Smile Pack’ kepada Ketua Unit Sokongan Pelajar (Pusat Perkhidmatan Pelajar), Ahmad Faeizal Abdul Majid untuk diagihkan kepada pelajar di dalam kampus UTP.

Turut hadir pegawai di Unit Sokongan Pelajar bagi Pelajar Antarabangsa, Erwan Syah Abdullah dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UTP sesi 20/21, Nur Awatiff Awang.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun berkata, usaha yang dilakukan itu sangat membantu mereka yang terjejas ekoran PKP.

“Semoga usaha kecil yang dibawa oleh MyFundAction dan F4H ini memberikan impak yang positif dalam diri para perwira negara kita di saat yang genting ini,” ujarnya.

Beberapa penerima yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana bantuan itu sangat membantu mereka, lebih-lebih lagi apabila PKP dilanjutkan hingga 14 April depan.

MyFundAction dan F4H menyediakan peruntukan sebanyak RM150,000 dana untuk edaran Rezeki Ummat kepada mereka yang memerlukan.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh berhubung dengan Puan Syahid di talian +60124431756.