KUALA PILAH: MyKad tercicir ketika mencuri, menyebabkan lima pelajar dan seorang penuntut kolej ditahan polis kerana disyaki cuba melarikan motosikal milik penduduk di Kampung Masjid Terentang dekat Padang Lebar di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok, berkata dalam kejadian jam 4.10 pagi itu, pemilik motosikal berusia 27 tahun yang sedang tidur terjaga selepas mendengar bunyi mencurigakan di hadapan rumahnya.

“Dia kemudian mengintai melalui tingkap sebelum melihat tiga lelaki sedang melakukan sesuatu terhadap motosikalnya yang diletakkan dalam kawasan rumah.

“Pemuda terbabit segera memberitahu kejadian itu kepada abang iparnya serta seorang jiran, sebelum mereka menyerbu ketiga-tiga suspek terbabit.

“Sergahan itu menyebabkan kumpulan suspek berkenaan melarikan diri. Mereka kemudian memeriksa kawasan sekitar sebelum menemui dua motosikal dipercayai milik suspek dan menemui sekeping Mykad dalam bakul kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Haslah berkata, tidak lama kemudian, suspek yang juga pemilik Mykad berkenaan, datang semula ke rumah terbabit untuk menyerah diri sebelum dia ditahan dan diserahkan kepada polis.

Katanya, hasil siasatan, polis menahan lima lagi rakan suspek yang juga pelajar sekolah menengah di daerah ini untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek yang berusia di antara 15 hingga 21 tahun kini disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya – berita harian