GEORGETOWN: “Saya jadi panik dan terus tekan pedal minyak,” kata S Nesamani, 44, pemandu wanita yang keretanya merempuh sebuah kedai kosong di Jalan Penang, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia terlalu takut apabila melihat seorang lelaki yang memandu kereta memberi isyarat tangan selepas kenderaan mereka bergesel menyebabkannya tertekan pedal minyak.

“Ketika kejadian, saya memandu di laluan paling kanan dan mahu membelok, namun secara tiba-tiba sebuah kereta dipandu seorang lelaki datang dari kiri jalan arah sama dan terus masuk ke laluan saya.

“Tindakannya itu menyebabkan bahagian belakang keretanya bergesel hadapan kereta saya. Saya berhenti seketika untuk berbincang di tepi jalan,” katanya yang bekerja sebagai pengurus khidmat pelanggan di sebuah pasar raya.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit menunjukkan amaran menggunakan tangan membuatkan dia takut dan panik sehingga dia tertekan pedal minyak dan keretanya meluru masuk ke sebuah kedai kosong.

“Saya baru beli Perodua Myvi ini kira-kira dua bulan lalu, hari ini kebetulan saya cuti dan keluar untuk menjelaskan bil air serta elektrik.

“Namun, saya tidak sangka akan berlaku kemalangan ini dan lebih buruk apabila merempuh masuk ke dalam kedai,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan juga tidak membabitkan nyawa orang lain.

“Saya tidak dapat bayangkan jika kedai berkenaan berpenghuni, mungkin kejadian tidak diingini berlaku,” katanya yang masih trauma dengan kemalangan itu – berita harian