IPOH: Industri berasaskan kayu di Perak akan diberi nafas baru bagi mengubah tanggapan lama memotong, menebang dan menjual hasil sehingga kurang memberi pulangan kepada kerajaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, melalui pendekatan baru yang dijalin bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Invest Perak, produk hutan berasaskan kayu akan dipelbagaikan untuk memenuhi permintaan pasaran dalam dan luar negara.

“Perkara ini boleh berikan satu jelmaan baru industri kayu di Malaysia oleh kerana tradisinya kita hanya mendapat pulangan paling kecil dari industri ini di Perak.

“Kita boleh peroleh hasil yang tinggi menerusi industri ini, sehingga kini kita masih harapkan hasil balak dengan potong di hutan, bawa ke lori dan jual…kali ini keluar dari pemikiran usang dan pergi setapak lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan MTIB di pejabatnya di sini pada Rabu.

Yang turut sama Ketua Pengarah MTIB, Datuk Dr. Jalaluddin Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Perak, Sayed Sharifuddin Sayed Shamshuddin.

Ketika mengulas lanjut perkara itu, Nizar berkata industri kayu itu turut membuka peluang penggunaan bahan mentah itu bagi pembinaan rumah.

“Ia bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan untuk membina 50,000 unit rumah mampu milik dalam masa lima tahun, pendekatan ini menjadikan bahan binaan berasaskan kayu dan harga rumah lebih murah dah proses binaan yang cepat.

“Kerajaan kena lihat untuk tempatkan kawasan sekurang-kurangnya 100 hektar dengan tanaman buluh untuk dibekalkan kepada kilang-kilang.

“Perak juga merupakan negeri yang masih banyak kayu bermutu tinggi dan peluang ini patutnya digunakan secara menyeluruh untuk hasilkan lebih banyak produk,” ujarnya.