LELAKI disyaki penagih sanggup bersembunyi dalam tangki air di rumahnya di sebuah kampung di Kota Belud, bagi mengelak ditahan penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah, malam tadi.

Bagaimanapun cubaan lelaki berusia 20 tahun itu gagal apabila dia tidak dapat menahan nafas sebelum menyerah diri kepada penguat kuasa AADK yang menjalankan pemeriksaan menyeluruh di rumah berkenaan.

Operasi oleh AADK Tuaran itu bermula jam 11.20 malam membabitkan beberapa lokasi di Tuaran dan Kota Belud, antaranya Kampung Tempasuk 2, Lantiggi, Lebak Moyoh, Lapasan Tenghilan, Sawah, Dungun dan Lok Batik.

Ketua pegawai AADK Tuaran, Asraf Hafiz Ruslan berkata, bertindak atas aduan orang awam serta risikan selama seminggu, sepasukan AADK Tuaran menjalankan Ops Cegah dan turut dibantu AADK negeri dan AADK Labuan yang menahan tujuh lelaki kerana disyaki penagih dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing, enam didapati positif dadah jenis syabu manakala seorang lagi negatif,” katanya di Kota Belud hari ini.

Asraf berkata, seorang lelaki cuba melarikan diri selepas melihat kehadiran penguat kuasa AADK, namun berjaya ditahan apabila dia menyerah diri kerana tidak tahan nafas selepas bersembunyi di tangki air yang penuh di bilik mandi.

“Suspek yang positif syabu dan dibawa ke AADK Tuaran untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Asraf berkata, semua suspek berusia 22 hingga 46 tahun ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“AADK Tuaran akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membenteras kegiatan penagihan dadah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Tuaran di talian 088-788336 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya – berita harian