KUALA KANGSAR: Pemandu treler yang merempuh sebuah kereta sehingga mengorbankan lima individu termasuk seorang bayi di Kilometer 255.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara selepas Terowong Menora semalam, mempunyai 13 rekod saman.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, kesemua saman yang dikeluarkan terhadap pemandu berusia 41 tahun yang kebanyakannya membabitkan kesalahan pandu laju itu telah pun dijelaskan.

Katanya, siasatan juga mendapati kenderaan syarikat yang dipandu lelaki terbabit mempunyai 11 saman dan hanya tiga saman yang masih belum diselesaikan.

“Pemandu treler itu ditahan di lokasi kejadian semalam dan ujian air kencing telah pun dilakukan terhadap suspek.

“Berdasarkan keterangan awal pemandu, dia terpaksa membelok ke kanan untuk menghimpit pembahagi jalan bagi mengurangkan kelajuan treler selepas mendapati brek kenderaannya gagal berfungsi.

“Rakaman percakapan lelaki itu telah diambil dan siasatan kes ini dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini pada Ahad.

Ujarnya, pemandu treler itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar esok untuk proses reman sekiranya siasatan masih belum lengkap.

Dipercayai mangsa yang menaiki kereta jenis Kia Forte dalam perjalanan dari Selangor ke Taiping untuk menghadiri aktiviti keagamaan.

Setakat jam 9 pagi tadi, beberapa individu yang dipercayai waris mangsa hadir ke unit forensik Hospital Kuala Kangsar bagi menjalani ujian DNA.

Difahamkan tiga daripada lima mangsa yang rentung itu dipercayai seorang warga emas 60 tahun, wanita berusia 37 tahun serta bayi lelakinya berusia 1 tahun.

Butiran kesemua mangsa masih dalam siasatan menerusi post mortem dan ujian DNA dari keluarga mangsa diperlukan bagi membuat pengecaman identiti.