KUANTAN: Ibu bapa kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Kampung Batu Putih di sini, akan kembali ke tanah air hari ini untuk urusan pengebumian insan tersayang mereka.

Seorang daripada saudara mangsa kemalangan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Basir, berkata berita pemergian tiga beradik itu disampaikan oleh ejen pengurusan umrah yang disertai anggota keluarga mangsa.

“Saya difahamkan berita sedih itu diterima ibu dan bapa mangsa semasa mereka sedang melakukan tawaf umrah. Mereka reda dengan pemergian tiga beradik itu.

“Mereka juga membuat keputusan pulang ke Malaysia untuk melihat anak mereka buat kali terakhir. Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 pagi (Ahad) dan terus bertolak ke Kemaman,” katanya.

Basir berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, pada Sabtu.

Pada awal pagi tadi, tiga beradik, Wan Nur Athirah Wan Kamaruzzaman, 27, Wan Nur Afifah, 25, dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi, 14, terkorban selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam parit.

Kemalangan pada 5 pagi itu juga menyebabkan ibu saudara mereka Salmah Ibrahim, 58, dan anaknya Nurul Aliani Zawawi, 25, cedera di muka dan sedang dirawat di HTAA.

Kejadian berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang ke Kemaman, Terengganu selepas menghantar ibu bapa mereka, Wan Kamaruzzaman Wan Mohamad dan Rosnani Ibrahim serta adik mereka Wan Nur Aqilah ke KLIA untuk mengerjakan umrah pada Khamis lalu.

Jenazah tiga beradik itu dibawa ke Hospital Kemaman pada Sabtu malam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapur, Binjai, selepas ketibaan anggota keluarga mangsa.

— BERNAMA