PARIT BUNTAR – Majlis Daerah Kerian(MDK) yakin mampu dinaik taraf kepada status ‘perbandaran’ menjelang tahun 2020 berdasarkan inisiatif tambahan dirancang bagi meningkatkan hasil pendapatan kepada melebihi RM20 juta setahun.

Yang Dipertuanya, Abdul Khair Ahamad berkata, terdapat empat inisiatif tambahan penting yang dijangka mampu meningkatkan hasil pendapatan MDK kepada tambahan RM 2 juta berbanding tahun terdahulu.

Menurutnya, empat tambahan inisiatif peningkatan hasil pendapatan MDK tanpa perlu perlaksanaan kenaikan kadar cukai taksiran adalah pendaftaran rumah kediaman membuat kerja pembesaran tambahan; operasi pemutihan bangunan dibina tanpa kelulusan pelan perancangan membina MDK; pendaftaran lesen perniagaan semua peniaga tepi jalan dan peniaga di rumah serta pewartaan kawasan seliaan baharu MDK.

“Pada ketika ini, MDK sudah melepasi syarat kepadatan populasi penduduk bagi dinaik taraf kepada status ‘perbandaran’ dengan jumlah terkini penduduk melebihi 200,000 orang.

“Cuma bagi memenuhi syarat jumlah pendapatan tahunan, MDK hanya memperolehi jumlah pendapatan keseluruhan mencecah RM18 juta, kurang RM2 juta daripada diperlukan.

“Bagaimanapun, MDK menjangka kesemua inisiatif di atas akan menjana pendapatan baharu kepada MDK, sekaligus menampung kekurangan RM2 juta yang diperlukan bagi membolehkan MDK dinaik taraf kepada status perbandaran menjelang tahun 2020,”katanya kepada media di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha MDK, Nurhafisah Mohamad.

-Sinarharian