Putrajaya: Hasil pengurusan kewangan yang baik oleh kerajaan membolehkan lebihan Akaun Hasil Disatukan meningkat tujuh kali ganda daripada RM450 juta ditinggalkan kerajaan terdahulu pada 30 April kepada RM3.7 bilion pada 31 Ogos yang lalu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, lebihan yang diperoleh bagi tempoh Mei hingga Ogos lalu berjaya dicapai hasil tindakan tegas kerajaan dalam mengawal perbelanjaan pengurusan dan pembiayaan kos secara berhemah.

Beliau berkata, pemerintahan kerajaan secara cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) juga berjaya memberi penjimatan hasil daripada penghapusan amalan korup selain pulangan kecekapan (efficiency gains) hasil usaha reformasi institusi seperti tender terbuka yang kompetitif.

“Amalan pengurusan kewangan kerajaan yang baik dan berhemat berjaya menghasilkan lebihan sebanyak RM3.25 Bilion di dalam baki akaun semasa.

“Hasil bagi tempoh empat bulan dari Mei ke Ogos lalu juga meningkat sebanyak RM1.7 bilion dari RM71.88 bilion kepada RM73.58 bilion apabila dibandingkan dengan tempoh empat bulan dari Januari ke April tahun yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, peningkatan tujuh kali ganda dalam Akaun Hasil Disatukan dari Mei ke Ogos lalu menjelaskan cara kerajaan mendapatkan dana yang memadai untuk memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar termasuk membayar gaji dan pencen bulanan sebanyak RM8 bilion.

Guan Eng berkata, kerajaan mahu buktikan yang sebuah kerajaan bersih bukan sahaja dapat membebaskan negara dari dikenali sebagai sebuah kleptokrasi global tetapi juga membantu negara mendapatkan sumber kewangan yang baru.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, bagi tempoh empat bulan dari Januari hingga April lalu, hasil yang dikutip di dalam tempoh itu adalah RM71.88 bilion berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM83.29 bilion sekali gus membawa kepada defisit RM11.41 bilion di dalam baki akaun semasa.

“Defisit RM11.41 bilion ini menjadi penyebab mengapa Akaun Hasil Disatukan, yang di awal tahun fiskal mempunyai RM11.86 Bilion, hanya berbaki RM450 Juta di penghujung April 2018,” katanya.

Katanya, Kementerian Kewangan menegaskan sekali lagi bahawa hanya RM450 juta yang ditinggalkan dalam Akaun Hasil Disatukan ketika kerajaan PH mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada 9 Mei lalu – hmetro