KUALA SEPETANG: Sebanyak RM550,000 peruntukkan disediakan bagi menaiktaraf pusat pelancongan Kg Dew yang terkenal dengan produk kelip-kelip, sebagai inisiatif untuk membantu menjana sumber pendapatan penduduk setempat.

Selain Kg Dew, dua lagi kawasan lain yang mempunyai taburan kelip-kelip sepertinya di seluruh dunia hanyalah terdapat di Kuala Selangor dan Mississipi, Amerika.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, peruntukan itu termasuk menambahbaik jeti Kg Dew dan pusat interpretatif pelancongan di kampung tersebut.

Menurut beliau, kerja-kerja fasa pertama yang menelan kos RM350,000 telah dilaksanakan dan baki RM200,000 bagi pembinaan “covered walkway” yang dijangka bermula awal tahun hadapan.

“Sebelum ini, pelancong sekadar datang ke jeti dan menaiki bot bagi menyaksikan kelip-kelip, tanpa sebarang informasi dan standard pelancongan yang berkualiti.

“Justeru itu, kami telah melatih dan memberi kursus kepada 10 jurumudi atau boatman dan lapan orang pemandu pelancong yang terdiri daripada anak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir dalam majlis perasmian Pusat kegiatan kelip-kelip Kampung Dew dan penyampaian notis 5A Rancangan Kampung Tersusun (RPT) Kampung Pak Dollah Mukim Asam Kumbang.

 

kampung-dew-permukiman-2
Terdahulu, Menteri besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merasmikan majlis tersebut selain meluangkan masa untuk meninjau gerai pengusaha Industri Kecil dan Sederhana ( IKS) di sekitar jeti tersebut.

Menurut Nolee, purata 1,000 pengunjung menyaksikan tarikan kelip-kelip di Kg Dew setiap bulanan dan dengan naiktaraf jeti itu, diharap akan meningkatkan dua kali ganda di masa akan datang.

Katanya, perasmian Pusat Kegiatan Kelip-Kelip Kg Dew adalah sebagai permulaan kerjasama dengan penduduk setempat untuk membangunkan gerai-gerai seperti mee ketam yang mendapat permintaan ramai, di samping gerai-gerai IKS dan pengusaha kayu arang, dengan lebih sistematik.
Ujarnya, selain baik pulih jeti Kg Dew, pihaknya juga akan menimbangkan beberapa rumah lama di kawasan itu menjadi homestay atau rumah inap sebagai satu lagi inisiatif untuk menjana pendapatan penduduk.

“Kita sedang dalam perancangan untuk menaiktaraf dan melaksanakan konservasi ke atas rumah-rumah yang mempunyai reka bentuk unik sebagai tarikan pelancongan, di samping mengekalkan nilai estetikanya,” tambahnya.

Nolee berharap agar semua pihak dapat memainkan peranan untuk bersama-sama membantu melonjakkan dan memartabatkan produk pelancongan di tempat masing-masing.