PETALING JAYA: Perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang membabitkan Najib Razak ditangguh sehingga minggu depan kerana bekas perdana menteri itu mengalami jangkitan kuman pada matanya.

Peguam, Muhammad Shafee Abdulah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang Najib menghubunginya kira-kira 7.45 pagi tadi untuk memaklumkan kedua-dua matanya dijangkiti konjunktivitis.

“Jangkitan itu bermula semalam dan seorang pakar mata di Midvalley memberi sijil sakit kepadanya selama 3 hari.”

Katanya, beliau mempunyai gambar jangkitan mata itu dan sijil sakit yang diambil menggunakan telefon bimbit.

“Saya akan memberi satu salinan kepada mahkamah,” kata Shafee yang memohon perbicaraan ditangguhkan.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram tidak membantah permohonan pihak pembelaan.

“Ia kelihatan agak teruk dan jangkitan mata sedemikian juga mudah berjangkit.”

Pihak pendakwaan dijadualkan menutup kesnya Jumaat ini selepas pegawai penyiasat, Rosli Hussain daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selesai memberi keterangan.

Nazlan yang membenarkan penangguhan itu bertanya jika Najib boleh sembuh pada Jumaat ini, tetapi Shafee memberitahu ia tidak mungkin.

Sithambram berkata, pihak pendakwaan memerlukan 2 jam untuk menyoal Rosli yang merupakan saksi ke-57, manakala Shafee pula berkata, beliau memerlukan 2 hari untuk pemeriksaan balas.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, ke akaunnya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 1