Bekas perdana menteri Najib Razak menyorot semula kenyataan Anggota Parlimen DAP Tony Pua berhubung keputusan kerajaan menaikkan margin keuntungan stesen minyak dengan memperkenalkan semula sistem apungan mingguan.

“Tentu Tony Pua juga mengambil tahu bahawa kerajaan telah menaikkan margin keuntungan stesen minyak semalam – satu langkah yang kerajaan BN masa saya tidak ambil.

“Bukan setakat tahu, tetapi Tony Pua sendiri mungkin antara mereka yang menyumbang kepada keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Tony Pua merupakan pegawai khas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Najib juga menyorot bahawa Tony Pua sebelum ini berkempen agar pengedar bahan api bersaing secara bebas dan menuduh kerajaan tidak mengutamakan kepentingan pengguna.

“Bukan main seronok DAP hari-hari hentam setiap keputusan kerajaan BN dahulu untuk menghasut rakyat dan menanam kebencian.

“Kini, hampir semua yang mereka buat sama dengan kerajaan BN,” katanya.

Semalam, Lim mengumumkan kerajaan akan kembali kepada sistem apungan mingguan susulan penurunan harga minyak dunia.

Ia menyebabkan penurunan 27 sen bagi RON95 kepada RM1.93 sen seliter. Harga berkenaan termasuk kenaikan keuntungan 2.81 sen bagi stesen minyak kepada 15 sen seliter.

Sistem apungan mingguan sebelum ini digunakan kerajaan BN, namun ditukar kepada bulanan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Lim bagaimanapun berkata, sistem apungan mingguan yang kembali digunakan tidak sama seperti sebelum ini kerana sistem itu akan digantung sekiranya terdapat kenaikan harga minyak dunia, dengan harga siling RM2.20 seliter – Malaysia kini