SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan halaman terbaharu komik propaganda yang belum diketahui umum.

Bekas Presiden UMNO itu telah berkongsi tiga gambar di laman Facebook miliknya dan memuat naik posting memberitahu bahawa komik tersebut telah diedar secara senyap di sekolah-sekolah di negara ini.

“Tiga lagi muka surat dari komik propaganda DAP yang telah diedar secara senyap kepada semua 2,500 buah sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan dalam negara.

“Kawan-kawan boleh baca dan membuat penilaian sendiri jika komik ini sesuai diedar kepada murid-murid sekolah Malaysia,” tulisnya.

Perkongsian Najib yang baharu sahaja memuat naik gambar tersebut kira-kira 3 petang tadi kini tular di media sosial dan rata-rata netizen mengharapkan agar pihak polis mengambil tindakan segera terhadap pelukis komik terbabit.

Rafiah di ruangan komen Najib menulis bahawa komik tersebut amat sesuai untuk dibakar.

“Sekarang bukan masanya lagi menghasut pelajar dengan propaganda jahat untuk menghancurkan perpaduan kaum. Bukan sehari dua membina keharmonian, banyak onak ranjau ditempuhi. Pengorbanan pejuang dahulu bermandikan darah untuk mempertahankan tanah air. Hari ini dengan mata pena sahaja, DAP membakar bibit-bibit perpecahan,” tulisnya

Magribi Ibey di Facebook turut bersetuju komik berkenaan dibakar.

“Dapat komik ini, bakar jerlah. Banyak unsur menghina agama Islam. Islam itu cintakan keamanan dan keharmonian. Tak nafi juga ada segelintir yang taksub dengan berfikiran jumud membuat tindakan yang salah. Mohon kerajaan hari ini menarik balik kandungan buku tersebut,” tulisnya.