Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Najib Razak dilepaskan tapi tidak dibebaskan (DNAA) atas tiga tuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menerima permohonan Peguam Negara Tommy Thomas.

“Melihat kepada permintaan pendakwa raya, saya mengarahkan supaya tertuduh dilepaskan tapi tidak dibebaskan daripada tiga tuduhan tambahan ,” katanya.

Najib dikenakan tiga tuduhan tambahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001 pada 28 Jan lalu.

Seorang pembantu Najib kemudian memberitahu Malaysiakini tiga dakwaan baru itu dibuat sebagai “menghukum” bekas perdana menteri terbabit selepas dia membantu dengan “agak cemerlang” BN memenangi PRK Cameron Highlands.

“Saya fikir ini untuk menghukum Najib berhubung apa yang berlaku di Cameron Highlands. Saya mengesyaki demikian kerana prestasi Najib agak cemerlang di Cameron Highlands,” katanya.

Sementara itu semasa mengemukakan permohonan berkenaan Thomas berkata pada 28 Jan lalu ada perbezaan cadangan sama ada tuduhan tersebut perlu disekalikan dengan dakwaan lain atau tidak.

“Untuk membantu mahkamah dan mengelakkan masalah kepada hakim untuk membuat keputusan mengenainya, saya mencadangan tidak perlu diteruskan tiga dakwaan tersebut di mahkamah ini.

“Justeru saya meminta agar perintah DNAA daripada yang arif untuk tiga tuduhan tersebut,” katanya.

Menurut Thomas, Najib akan didakwa berhubung tiga tuduhan pengubahan wang haram di mahkamah sesyen pada tarikh yang akan datang.

Muhammad Shafee Abdullah bertindak sebagai peguam bela Najib – Malaysiakini