PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid akan didakwa di mahkamah atas kesalahan pecah amanah, esok.

Perkara itu disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan media sebentar tadi.

Katanya, SPRM sudah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh Najib, Irwan Serigar dan Hasanah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

“Kedua-duanya (Najib dan Irwan Serigar) akan dituduh bersama berhubung siasatan beberapa kes pecah amanah yang dilakukan oleh mereka membabitkan wang milik Kerajaan Malaysia.

“Najib dan Irwan Serigar akan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Oktober (esok) jam 7.30 pagi untuk proses pertuduhan,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan SPRM turut mendapat izin untuk mendakwa Hasanah untuk kesalahan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

Terdahulu, Najib dan Irwan Serigar hadir di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan itu.

Najib, 65, dan Irwan Serigar, 61, masing-masing tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 1.53 tengah hari dan 3.25 petang dengan menaiki kenderaan persendirian.

Kenderaan jenis Audi Q7 membawa Najib tiba di perkarangan lobi ibu pejabat SPRM jam 1.53 tengah hari selepas beliau diperintahkan untuk hadir ke situ pada jam 2 petang.

Sementara itu, Irwan Serigar pula tiba pada jam 3.25 petang dengan menaiki Perodua Myvi hitam.

Kedua-duanya dipanggil untuk disoal siasat berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC).

Najib kemudian dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM tepat jam 5 petang dengan menaiki Proton Perdana hitam.

Bagaimanapun, setakat jam 5 petang tadi, proses soal siasat ke atas Irwan Serigar masih belum selesai.

Hasanah, 61, pula tidak dipanggil ke SPRM hari ini sebaliknya akan terus dituduh di mahkamah esok.

Hasanah sebelum ini disoal siasat berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membabitkan nilai mencecah RM49.5 juta (AS$12 juta) – berita harian