KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hari ini menceritakan detik cemas apabila beliau pernah menjadi sasaran penembak tepat dalam insiden yang berlaku setahun setengah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, insiden itu berlaku di Pejabat UMNO Bahagian Pekan dan semasa kejadian beliau tidak berada di situ.

Katanya, perkara itu juga tidak pernah dihebohkan sebelum ini serta tidak ramai yang tahu mengenainya.

“Mereka tahu saya tidak ada di situ dan mereka bukannya nak bunuh saya. Tapi, saya tahu mereka hanya nak beri amaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu khas dalam forum bertajuk “Hard Truth: Cash Is King” yang diadakan di PWTC di sini malam ini.

Menurut Najib, polis ada menjalankan siasatan terhadap insiden itu namun, pihak berkuasa gagal mengesan individu yang bertanggungjawab melakukannya.

Katanya, polis mengesan tembakan itu dilepaskan dalam jarak 200 meter berdasarkan kesan peluru yang dijumpai.

Terdahulu, Najib ketika bercakap pada forum berkenaan memberitahu, penembak tepat itu telah mensasarkan bilik beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Pekan tembakan yang dilepaskan mengenai cermin tingkap.

Bagaimanapun ujarnya, cermin tingkap itu tidak pecah kerana peluru tersebut mengenai bucu tingkap.

“Kalau peluru itu betul-betul kena di tengah-tengah cermin dah tentu ia akan pecah, jadi adalah bukti menunjukkan bahawa tembakan itu dilepaskan dalam jarak 200 meter.

“Dan buktinya mereka mensasarkan saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan,” katanya lagi.

Najib menceritakan kisah tersebut selepas ditanya moderator program berkenaan Farhan Khairuddin dan Mohd Shafiq Fahly tentang perubahannya ketika ini apabila mudah bertemu rakyat berbanding semasa beliau menjadi seorang perdana menteri.

Menjawab mengenai persoalan yang dilemparkan, Najib berkata, bukan beliau tidak mahu bertemu rakyat ketika itu tetapi jawatannya sebagai ketua kerajaan telah membataskan beliau untuk berbuat demikian.