KUALA LUMPUR : Najib Razak selesai bersumpah menafikan beliau pernah mengarahkan bekas pegawai polis, Azilah Hadri atau mana-mana individu lain membunuh warga Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Bekas perdana menteri itu melafazkan sumpah laknat itu di Masjid Jamek Kampung Baru di hadapan isterinya, Rosmah Mansor, anak mereka, Nooryana Najwa Najib, dan lebih kurang 500 orang lain selepas selesai solat Jumaat.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, sejak memasuki usia taklif hingga saat ini, saya tidak pernah arahkan mana-mana individu, untuk bunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Saya tidak pernah berjumpa, tidak kenal mendiang sama sekali,” katanya.

Rabu lalu, Najib berkata akan mengangkat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan dalam akuan berkanun Azilah yang mengaitkan beliau dengan kematian Altantuya.

Azilah, yang disabitkan membunuh wanita Mongolia itu dan dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015, mendakwa Najib, ketika menjadi timbalan perdana menteri, memberi arahan untuk membunuh wanita itu.

Azilah membuat akuannya untuk permohonan semakan kes pembunuhannya di Mahkamah Persekutuan.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 di hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam, Selangor, dengan tembakan ke kepala sebelum tubuhnya diletupkan.

Seorang lagi bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar lari ke Australia selepas Mahkamah Rayuan membebaskan dia dan Azilah daripada tuduhan membunuh Altantuya pada 2013. Pembebasan mereka diterbalikkan Mahkamah Persekutuan pada 2015.