KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan notis usul bagi mengisytiharkan tujuh tuduhan membabitkan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, adalah cacat.

Semua tuduhan yang dikenakan ke atas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu membabitkan dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam permohonan notis usul yang difailkan pada 3 April lalu, Najib memohon supaya tujuh tuduhan yang dikenakan terhadapnya itu, digantung atau dibatalkan.

Beliau mengemuka alasan bahawa tuduhan itu cacat dari segi bentuk dan isi perkara, selain itu satu proses penyalahgunaan mahkamah

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed yang ditemui selepas prosiding pengurusan kes, berkata pihak pendakwaan menerima notis usul dan afidavit permohonan Najib hari ini.

Budiman berkata, melalui prosiding di kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som itu, pihak pendakwaan diarahkan memfailkan afidavit balasan pada 15 April ini.

Katanya, kedua-dua pihak kemudian diarahkan memfailkan hujahan masing-masing pada 19 April.

“Pendengaran notis usul itu belum ditetapkan lagi. Berkemungkinan di antara 22 dan 26 April ini,” katanya.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib.

Pada hari pertama perbicaraan SRC International pada 3 April lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili Najib, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya akan memfailkan notis usul bagi mencabar tuduhan itu.

Najib, 66, didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Perbicaraan kes itu akan bersambung pada 15 April ini – Berita harian