KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Pakatan Harapan (PH) yang pernah berjanji kepada peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) mengadakan siaran percuma jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Bekas Perdana Menteri itu yang menonton perlawanan antara Liverpool menentang Norwich awal pagi tadi mengingati tentang janji yang dibuat oleh PH.

“Awal pagi tadi saya sempat tonton Liverpool lawan Norwich untuk seketika. Masa itu, Liverpool sudah jaring tiga gol.

“Tiba-tiba, saya teringat janji PH untuk EPL percuma jika mereka menang PRU-14. Saya pun periksa stesen-stesen televisyen percuma.

“Yang sedang disiarkan masa itu adalah TV1, Joran Selebriti; TV2, Cinta Dilangit Cardiff; TV3, Tanyalah Ustaz dan NTV7, transmisi tamat,” katanya dalam hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyoal kepada PH mana siaran EPL percuma.

“‘Dicapati’lagi ke? Saya masih ingat masa PH tabur janji ini. Masa itu, mereka kata janji ini boleh direalisasikan dengan mudah.

“Senang untuk buat kata mereka. PH kata janji EPL percuma lebih konkrit dan berbeza dengan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50) BN yang mereka sindir sebagai abstrak dan ‘fantasi dongeng’,” ujarnya.

Menurut Najib, TN50 adalah menyeluruh dan bermanfaat untuk masa depan anak-anak muda.

Beliau masih mengingati sindiran segelintir pemimpin PH yang persoalkan TN50.

“Kenapa kita harus tunggu 2050 kalau kita boleh capai pada 2018,” kata Najib yang masih mengingati sindiran tersebut selepas pelancaran TN50 sebelum ini.

Tapi hakikatnya kata Najib, janji tersebut ‘dicapati’ serta merta selepas PRU-14.

Tambahnya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pernah berkata tidak boleh bagi siaran itu percuma pada tahun lepas.

“Kini musim baharu EPL bermula lagi. PH senyap je. Mungkin nak harap orang ramai sudah lupa slogan ‘EPL percuma’ mereka.

“Tapi realitinya ialah janji ini telah ‘dicapatikan’ buat kali kedua,” katanya.