KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta untuk proses pendakwaan berhubung kes dana SRC International Sdn. Bhd., bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anggota Parlimen Pekan itu tiba jam 8.17 pagi di Kompleks Mahkamah KL dengan kereta Proton Inspira berwarna merah yang diiringi beberapa kenderaan serta motosikal polis.

Sebaik tiba di kompleks berkenaan, Najib dikawal ketat dengan diiringi pasukan polis dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa masuk ke bangunan mahkamah.

Bekas Menteri Kewangan itu dilihat memakai sut lengkap berwarna gelap, kemeja biru dan bertali leher.

Beliau kelihatan tenang ketika berhadapan dengan media serta orang ramai.

Perkarangan mahkamah juga gamat dengan laungan seperti “Bebas Najib” dan “Hidup Najib” oleh para penyokongnya sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Kira-kira 100 penyokong Najib termasuk anggota UMNO berkumpul di perkarangan lokasi itu sejak pukul 7.00 pagi lagi.

Semalam, Pasukan Petugas Khas Siasatan 1MDB mengesahkan Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya. – BERNAMA