PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 3 petang tadi di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini pada jam 3.35 petang tadi.

Sumber berkata, Najib tiba di SPRM dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Inspira warna merah dengan diiringi empat buah kereta lain.

Bagaimanapun, ketibaan Najib di Ibu Pejabat SPRM di sini langsung tidak disedari oleh wartawan dan jurugambar memandangkan kebanyakan mereka berada berdekatan lobi bangunan bagi mengikuti isu siasatan membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan, kenderaan yang membawa Najib terus menuju ke tempat letak kereta bawah bangunan tanpa melalui lobi bangunan SPRM.

Najib difahamkan terus di bawa ke bahagian lokap SPRM yang terletak di aras bawah bangunan – berita harian